Wednesday, April 18, 2012

Cerita Gunung Agung, Bali - Episod 2 (2 April 2012)

Oleh Tony Monero
jomweh@gmail.com

"WAN, tunggu jap wan," jerit aku. "Dekat dah Ton, kat depan sikit nanti kira rest," sahut Wan. Aku menguatkan genggaman jejari pada rumput tepi tebing.

Imbas Kembali: Tujuh Saat Sebelum Itu

Lampu kepala aku tiba-tiba padam. Aku teruskan juga perjalanan sambil jari tangan mencari punat 'on' lampu. Laluan kecil untuk ke puncak Agung nampak samar-samar. Tiba-tiba aku rasa seperti terpijak lubang, Aku cuba imbangkan badan tapi tak berjaya lalu jatuh terperosok.


Mujur jari aku sempat berpaut pada rumput dan pokok renek yang tumbuh di tepi tebing. Dalam kelam malam, aku hirup nafas panjang-panjang dan mula menilai suasana. "Adoi...Camna boleh jatuh pulak ni?".

"Wan, tunggu jap Wan," jerit aku. "Dekat dah Ton, kat depan sikit nanti kira rest," sahut Wan.

Tamat Imbas Kembali

"Wei, aku jatuh ni," aku menjerit lagi, tapi kali ini dalam nada lebih perlahan. Kepenatan. "Ha?" Wan bertanya kembali seolah-olah tak berapa jelas panggilan aku tadi. "Aku jatuhla wei," balas aku.

Beberapa detik kemudian, aku dengar bunyi tapak kasut semakin menghampiri. "Ya Allah," itu kalimat pertama Wan bila ternampak aku sedang 'bergayut' pada rumput di tepi jurang. "Kau OK ke Ton?" tanya Wan. "Kau nampak aku macam Ok ke?" Soal aku kembali dalam nada menganjing.

"Kau tunggu situ, jangan gerak. Ebby, Ebby, datang sini cepat. Jangan gerak Ton," kata Wan agak panik. Ish, lama sangat, naik sendiri lah. Aku membetulkan kedudukan badan dan merangkak naik.

"Alhamdulillah, Ebby, Tony dah Ok," kata Wan. Aku jenguk ke bawah, walaupun dalam gelap nampak sayup bukan main lagi jurang tu.

"Gila ah, ada dalam dua kilometer kat bawah tu kan?" kata aku. Wan hanya diam sambil pandang aku. Wajahnya masih nampak panik. Lebih panik daripada aku yang jatuh ni ha. Si Putu pula melayan perasaan sambil menghembuskan asap rokok perlahan-lahan. Entah apa difikirkannya. Mungkin teringat belaian manja isteri barangkali.

Sejurus kemudian, Ebby, Rama dan Made sampai.

Ebby: Ada apa bro?

Aku: Aku jatuh tadi, lampu tiba-tiba pulak padam. Nasib baik aku sempat pegang rumput.

Ebby: Ha, tulah, aku tadi nyaris-nyaris jugak. Dah nak melangkah ke gaung tadi. Mujur Rama capai tangan aku.

Wan masih diam. Rama yang tadinya khusyuk mendengar perbualan kami, kemudian bersuara: "Oklah, kita rehat dulu. Jalan hati-hati sikit Tony, tempat ni memang bahaya tau". Aku hanya mengangguk sambil tersenyum manis.

"Pelik jugak, aku langsung tak rasa takut tadi. Mungkin dah penat sangat agaknya," kata aku sambil mencari lokasi paling best untuk berehat. "Kalau dah penat, memang tak rasa takut dah," kata Ebby.

"Patutnya tadi aku ambik gambar masa kau jatuh Ton," Wan melawak secara tiba-tiba tanpa memberi sebarang amaran. Kami semua gelak serentak sekali gus mengendurkan ketegangan suasana tadi. "Gampang," balas aku lalu disambut gelak kuat si Ebby.


Walaupun tidak timbul perasaan takut waktu itu, aku tetap bersyukur kerana nyawa masih panjang. Aku tak mahu jadi sebahagian daripada 'statistik' di Gunung Agung ni.

Kami ambil keputusan untuk merehatkan badan kurang lebih 15 minit. Putu yang tadinya sibuk membancuh kopi segera menghulurkan cawan kopi kepada aku dengan tangan kanan. Tangan kirinya seperti biasa meyepit rokok.

Sejurus kemudian, kami teruskan perjalanan. Jauh lagi nak sampai ni, mana boleh lepak lama-lama. Sejam lepas tu Ebby mencadangkan satu idea agak bernas yang dipersetujui sebulat suara setiap daripada kami. "Kita rest dulu dalam setengah jam, nak? Dapat lelap sekejap Ok jugak," kata Ebby.

Selepas kira-kira 10 minit berehat, tiba-tiba kami nampak dua cahaya bulat di bawah meluru agak laju ke arah kami.

Apa benda pulak dah ni. 


Bersambung... 

Sebelum dan selepas...

Cerita Gunung Agung, Bali - Episod 1 (2 April 2012)
Cerita Gunung Agung, Bali - Episod 3 (2 April 2012)

No comments:

Post a Comment